Saturday, October 18, 2008

Pertahankan institusi Melayu

Baru-baru ini seorang sahabat warga Singapura bukan Melayu singgah bertemu penulis dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Pinang. Beliau memaklumkan hasratnya membawa keluarganya pergi ke sebuah rumah ibadat di Pulau Pinang kerana menurut pandangannya di sana “adalah lebih mulia darjatnya dan mempunyai ramai sami yang berkaliber.”

Kenyataan itu membuatkan penulis terfikir bahawa dalam sebuah negara yang didominasi oleh orang Melayu beragama Islam, kepercayaan agama lain terus diberikan cukup ruang untuk berkembang hinggakan penganut agama dari negara lain pun datang ke sini memandangkan kemuliaan rumah ibadat agama itu di Malaysia.

Kemuliaan itu tidak mungkin akan berlaku tanpa sifat toleransi yang tinggi orang Melayu. Dalam keadaan yang lain lihat sahaja kegemilangan Batu Caves pada setiap tahun, yang mana perhimpunan sebesar itu pun tidak dibuat oleh orang Melayu dalam negara ini. Bukanlah menjadi rahsia lagi bahawa negara kita seringkali juga menjadi tempat bagi para paderi atau sami berhimpun atas tujuan agama masing-masing.

Kenyataan khas Mesyuarat Majlis RajaRaja ke-215 di Kuala Terengganu seharusnya menjadi peringatan kepada setiap pemimpin politik yang memperjuangkan kaum-kaum dalam negara kita. Biar sejauh mana pun kemajuan yang dicapai oleh negara ini, prinsip asasnya yang perlu diinsafi ialah Malaysia adalah milik semua warganegaranya.

Semua rakyat dijamin malahan telah dibuktikan untuk sama-sama mengaut keuntungan di bumi bertuah ini. Begitu pun, sebagai warga asal yang menduduki negara ini sudah tentulah orang Melayu diberikan keistimewaan yang bukanlah terlalu banyak sebagai mengiktiraf pengorbanan mereka dahulu.

Sesuai dengan pepatah Melayu yang menyatakan ‘orang berbudi kita berbahasa’, keistimewaan sedikit yang diberikan ini terus sahaja mendapat balasan segera daripada orang Melayu dengan menganugerahkan pula status warganegara kepada bukan Melayu. Para pemimpin dari UMNO, MCA dan MIC ketika itu telah menggunakan pemikiran waras dan jauh mereka.

Sementara orang Melayu terus menuai nikmat dalam bumi ini, kaum-kaum lain pun boleh turut sama menuai hasil tanpa perlu berasa takut atau dianaktirikan.

Kita boleh meneliti statistik penganugerahan status warganegara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak merdeka yang sangat jelas menunjukkan betapa ramainya kaum bukan Melayu menikmati faedah ini.

Hari ini kita memerlukan senarai yang sangat panjang untuk meneliti satu demi satu tuntutan dan dakwaan orang bukan Islam terhadap agama Islam dan Hak Keistimewaan Melayu. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini bukan sahaja hak-hak yang berkaitan dengan kaum Melayu cuba dipertikai, malahan terdapat juga permohonan daripada orang Kristian dan Sikh untuk menggunakan nama Tuhan orang Islam iaitu Allah dalam urusan agama mereka.

Pelbagai arahan larangan penggunaan kalimah tersebut oleh Kementerian Dalam Negeri kelihatannya tidak diendahkan malahan pihak Kerajaan Malaysia pula yang disaman oleh pertubuhan agama tersebut kerana melarang penggunaan kalimah suci tersebut.

Permohonan seumpama ini jika dibuat sekitar tahun 1960-an atau 1970-an akan mengakibatkan rusuhan antara agama dalam negara kita. Begitu pun sekarang, lihatlah bagaimana ketenangan dan kesabaran orang Melayu apabila menghadapi keadaan seumpama ini.

Walaupun apa yang dituntut itu melibatkan kesucian agama mereka, orang Melayu tetap bersabar dan menyerahkan kepada kebijaksanaan institusi kehakiman kita untuk menyelesaikan kes tersebut. Untuk tujuan rekod, hakim yang ditugaskan untuk mendengar kes tersebut pun bukanlah terdiri daripada hakim yang berbangsa Melayu atau beragama Islam.

Lebih daripada itu presiden persatuan agama tersebut menerima pula anugerah gelaran Tan Sri daripada pihak Kerajaan Malaysia semasa kes tersebut sedang berlangsung.

Kegagalan

Perasaan tidak puas hati terhadap apa yang diperolehi oleh orang Melayu berlaku kerana kegagalan sesetengah pihak untuk menghargai fakta-fakta sejarah negara kita. Kegagalan ini pula disebabkan oleh kebanyakan anak muda bukan Melayu contohnya yang berada di Johor yang sejak kecilnya belajar di negara jiran dan tidak pernah berada dalam arus perdana sistem pendidikan kebangsaan.

Tidaklah pelik jika mereka ini lebih arif tentang sejarah penubuhan Singapura daripada sejarah penubuhan Malaysia. Jangan hairan jika lagu kebangsaan Majulah Singapura lebih lancar di lidah mereka berbanding dengan lagu kebangsaan Negaraku.

Jika difikirkan, perkara ini berlaku pun kerana sikap toleransi orang Melayu yang membenarkan pelbagai jenis aliran pendidikan melangsungkan agenda mereka dalam negara kita. Keterbukaan seumpama ini tidaklah berlaku dalam sejarah pembinaan negara Indonesia umpamanya.

Apabila sejarah hanya menjadi sejarah untuk sebilangan kaum, maka peruntukan yang menjadi teras dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan lagi menjadi penting. Para pejuang kebebasan kaum ini merujuk peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak sama rata kepada semua kaum, sedangkan peruntukan yang spesifik berkaitan kaum Melayu dan agama Islam seolah-olah telah lama dibatalkan oleh Parlimen kita.

Sebaliknya lihatlah kenyataan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan majoriti pemimpin Melayu yang apabila merujuk kepada ketinggian agama Islam maka mereka juga akan menyebut bahawa hak-hak bagi mengamalkan agama lain tidak akan diganggu gugat.

Yang menjadi masalah sekarang adalah apabila sebahagian pemimpin mula menjuarai kepentingan kaum atau agama mereka dan pada masa yang sama melanggar sempadan yang telah selama ini diamalkan dalam masyarakat kita.

Contohnya, apabila Perlembagaan menyatakan bahawa agama lain bebas mengamalkan ajaran masing-masing maka terdapatlah pula pendakwah-pendakwah agama lain yang secara sengaja cuba pula menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam.

Alasan mereka mudah, kebebasan beragama, hak asasi manusia. Setelah mempengaruhi anak-anak muda Islam meninggalkan agama Islam dan mengganut agama mereka, aktivis-aktivis ini terus sahaja mengkritik agama Islam dan sistem kehakiman syariah kita kerana dikatakan cuba menghalang kebebasan beragama.

Bukan sedikit kecaman dan tohmahan yang dilemparkan kepada sistem perundangan Islam hingga rupa wajah agama Islam yang sepatutnya dijunjung oleh Perlembagaan itu digambarkan sebagai sangat zalim dan tidak adil. Ironinya, dengan kepimpinan orang Melayu yang beragama Islam selama inilah agama mereka terus berkembang dan sesetengah pusat ajaran agama itu pula menjadi rujukan kepada penganut agama tersebut dari seluruh dunia.

Orang Melayu juga harus sedar bahawa apabila kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma ‘Ketuanan Melayu’. Apa yang dimaktubkan adalah hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu. Rumpunan hak-hak keistimewaan ini jika dilaksanakan dengan amanah akan mampu mewujudkan apa yang dirujuk sebagai hak ketuanan tersebut.

Dalam realiti kehidupan sekarang, pemimpin politik Melayu harus berpijak di bumi nyata. Kerakusan mereka terhadap kuasa bagi mengukuhkan kedudukan diri sendiri dan bukan kaumnya akan mengakibatkan orang Melayu dilihat sebagai kaum majoriti tetapi hanya memiliki suara minoriti.

Apabila wujud sesuatu isu berkaitan hak Melayu, suara-suara pemimpin Melayu begitu lemah sehingga rakyat tidak bergetar di perasaan, tidak juga terlintas di fikiran masih adakah pemimpin Melayu yang memperjuangkan nasib mereka. Apa maknanya menjaja hak ketuanan tersebut jika kita melihat realitinya orang Melayu hanya menjadi pekerja di gedung tauke-tauke bukan Melayu, menjadi pemandu kereta mewah dan tukang kebun di banglo milik orang bukan Melayu.

Kita juga harus memberikan kefahaman kepada setiap warganegara akan rukun teras kewujudan negara ini. Pemahaman silang budaya harus terus diperkukuhkan. Dalam sambutan Aidilfitri baru-baru ini, ramai sahabat kaum Tionghua yang mengucapkan “Selamat Tahun Baru” kepada penulis.

Penulis jelaskan maksud Aidilfitri dan bezanya dengan Maal Hijrah kepada mereka dan kelihatannya sahabat-sahabat Tionghua ini sangat menghargai fakta yang baru diketahui itu.

Hak ketuanan Melayu hanya akan wujud jika kita dapat memastikan orang Melayu tidak terus terpinggir dalam negara ini. Maksud terpinggir datang dalam banyak sudut: ekonomi, pendidikan, agama dan sebagainya.

Sudah tiba masanya orang Melayu bangkit kembali dihitung menjadi satu dalam menentukan arah tuju wajah negara ini. Kekuatan itu jika lahir tidak pula menjadikan kita bangsa yang akan menindas kaum lain malahan kekuatan orang Melayu akan menjadi tiang seri kepada pengukuhan negara yang tercinta ini.

No comments: