Monday, November 10, 2008

Iktibar sebenar kemenangan Obama.

Tanggal 5 November 2008 telah menjadi tarikh paling penting dalam sejarah sistem demokrasi kerana dunia menjadi saksi perubahan besar senario politik Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan pertama kalinya warga kulit hitam, Senator Barrack Obama yang telah menjadi presiden ke-44 sekali gus menawan rumah putih sejak lebih 300 tahun AS mendapat kemerdekaan daripada Britain.

Hasil dari kesedaran rakyat AS mengenai kesaksamaan dan keadilan kepada semua kaum, mereka telah menerima iklim perubahan ini dengan hati terbuka. Ini ditambah lagi dengan kegagalan Presiden sebelumnya yang terang-terang membawa AS menuju ke arah kehancuran. Dengan dasar George W. Bush yang melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq membawa kepada masalah berpanjangan kepada negara dan malah menjerumus AS ke arah kehancuran ekonomi.

Atas perasaan jemu dengan perkara-perkara hitam yang telah dilakukan Bush, akhirnya rakyat AS sedar bahawa Obama adalah pengganti terbaik membawa AS ke jalan yang dikehendaki rakyat dan melantik beliau menjadi manusia paling berkuasa dalam dunia.

Dari segi konteks politik di Malaysia, sudah pasti ramai mula tertanya-tanya bila pula bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia? Golongan ini juga sudah pasti menyeru semua kaum di negara mengambil iktibar daripada kemenangan Obama tetapi persoalannya, iktibar macam mana kita patut ikut?

Ingin saya tegaskan di sini bahawa warga kulit hitam di AS sebenarnya sudah melupakan terus adat tradisi serta kepercayaan Afrika mereka. Malah nama mereka pun sudah tidak berbunyi nama orang-orang Afrika. Golongan ini juga begitu setia dengan negara mereka walaupun mereka mempunyai sejarah hitam permulaan pembentukan AS.

Dari ketibaan Kunta-Kunte sehingga Obama, warga kulit hitam berjaya mentransformasikan diri mereka seiring dengan kehendak semasa tidak seperti di Malaysia, hanya golongan Baba Nyonya dan Mamak sahaja berjaya berintegrasi dengan penduduk tempatan dan mempunyai gaya hidup tidak jauh dari orang bumiputera.

Kelompok bukan bumiputera lain di Malaysia semakin kuat, persatuan-persatuan agama mereka muncul tidak henti-henti tanpa halangan. Mereka juga mempersoalkan adat istiadat Melayu Islam umpamanya azan, zakat dan tulisan jawi. Malah mereka cukup berani memperkatakan negara ini bukan negara Islam sedangkan Raja negara ini beragama Islam dan majoriti penduduk negara ini juga beragama islam.

Oleh itu, sekarang orang bukan Melayu sudah berani menyuarakan isi hati mereka, iaitu harapan untuk menawan Putrajaya pula, meminta hak-hak yang melampaui batas malah tidak pernah terjadi dalam mana-mana sejarah. Golongan ini hanya ‘meminta tetapi tidak sanggup memberi’.
Di negara ini, hak setiap kaum dijaga oleh undang-undang negara. Semua kaum mendapat tempat dan diwakili di Parlimen. Dalam sektor ekonomi pula, tidak perlu dipersoalkan bahawa kaum bukan Melayu menguasainya. Kaum Melayu tidak mempertikaikannya kerana mereka berhak terhadap bahagian mereka kerana kita semua setuju ‘siapa yang bekerja lebih akan dapat lebih’.

Kaum Melayu pula menguasai politik negara tetapi yang peliknya orang bukan melayu pun inginkannya. Adakah selama 51 tahun Melayu memerintah orang bukan Melayu ditindas seperti di negara-negara jiran? Dengan adanya kontrak sosial seperti ini, sepatutnya semua kaum menjadikannya teras keharmonian negara ini. Jangan sesuka-hati menjadikan AS contoh kerana negara kita amat berbeza sekali daripada negara tersebut.

Yang menjadi persoalan utamanya sekarang, apakah ‘iktibar’ yang dimaksudkan oleh ramai ahli politik bukan Melayu ini? Adakah mereka sanggup meniru kejayaan orang kulit hitam AS dengan meninggalkan segala tradisi mereka dan berintegrasi dengan komuniti lain sehingga berjaya menjadi orang paling berkuasa dalam dunia?

Semua persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh golongan bukan Melayu sahaja, kerana orang-orang Melayu di negara ini sudah terlampau lembut malah sudah banyak hak-hak yang sepatutnya kepunyaan Melayu diberikan kepada golongan bukan Melayu.

Seperti kata mereka, ambil iktibar dari kemenangan Barrack Obama, jangan kita jadikan kemenangan ini ditiru bulat-bulat sahaja. Ambil iktibar sebenar-benarnya!

No comments: