Thursday, February 5, 2009

Perak 'hilang' dari tangan Pakatan Rakyat

Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah.

Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.

Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.

Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.

BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing.

"Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.

"Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir.

Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN.

"Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

"Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya.

Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".

Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN.

Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan.

Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan.

Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza.

Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.

1 comment:

Ahmad said...

siakkk bole lompat2 cm tu ke.