Tuesday, March 31, 2009

Elizabeth ‘jambatan’ dana kewangan PKR

BUKIT GANTANG - Bekas Setiausaha Pemuda dan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Lokman Noor Adam mendakwa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini tidak mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong melepaskan jawatan disebabkan peranan penting Elizabeth kepada parti itu.

Lokman yang juga merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendakwa pada bahawa pada tahun 2003, Anwar telah menghantar pimpinan kanan PKR ke Washinton DC untuk mendapatkan dana daripada George Soros untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-11 ketika itu.

Menurutnya, pertemuan itu telah diaturkan oleh Tian Chua dan pimpinan PKR yang menghadap George Soros ketika itu ialah Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan Khalid Jaafar.
Bagaimanapun katanya, Tian Chua tidak ada pada pertemuan itu sebaliknya beliau menghantar Elizabeth Wong untuk menguruskan pertemuan tersebut.

Menurut Lokman, pertemuan mereka terbongkar apabila berlaku pertengkaran diantara Azmin dan Elizabeth apabila Azmin tidak membenarkan Elizabeth memasuki perbincangan tersebut kerana khuatir ada pihak luar yang mengetahui tindakan mereka menagih dana dari Soros.

Beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor semasa mesyuarat ‘inner circle’ mereka.

“Anwar masih tidak mahu Elizabeth meletakkan jawatan kerana Elizabeth adalah ‘jambatan’ kepada dana yang diberikan kepada PKR dari pihak asing yang mahu mengkucar-kacirkan negara,” katanya pada ceramah ‘kenapa harus tolak Pas’ di sini, malam kelmarin.

Pada 1997, George Soros dilabel sebagai penyangak mata wang yang menyebabkan ekonomi negara merundum dan ekonomi Asia juga turut tergugat.

Katanya, pendirian Anwar berhubung kes Elizabeth juga jelas bersikap pilih kasih kerana dalam kes ADUN Bukit Selambau, V Arumugam yang didakwanya terlibat dengan masalah moral (perempuan simpanan), Penasihat PKR itu terus mendesak Arumugam meletakkan jawatan.

“Sebaliknya walaupun Elizabeth berhadapan dengan masalah ketagihan rokok, arak dan yang terkini isu gambar bogel, Anwar tetap mempertahankan Elizabeth habis-habisan,” katanya.


Lokman menegaskan, antara punca beliau dan ribuan anak muda lain tidak percaya bahawa Anwar seorang peliwat pada tahun 1998 adalah kerana ulamak Pas, bekas Imam Besar Masjid Negara ketika itu (Ustaz Taib Azamuddin) menyembunyikan kebenaran behubung skandal liwat anwar apabila kebenaran itu tidak menguntungkan politik Pas.

Beliau mendakwa Taib merahsiakan pengakuan yang dibuat oleh Ahmad Hairani (bekas penulis ucapan Anwar) dan Amir Hamzah bahawa mereka telah diliwat oleh penasihat PKR itu sebelum Anwar dipecat.

“Kalau dia beritahu perkara ini kepada umum sejak awal lagi, sudah pasti orang seperti saya tidak akan terpedaya dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim,” katanya.

Semantara itu, beliau menyeru pengundi Bukit Gantang menolak calon Pas, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, 7 April ini.

Katanya, pengundi Bukit Gantang perlu sedar bahawa Pas di negeri itu hanya diperkudakan oleh DAP di mana segala keputusan Mohamad Nizar semasa menjadi Menteri Besar adalah diatas telunjuk DAP.

No comments: