Thursday, April 2, 2009

Pas Cabar Najib

BUKIT GANTANG – Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa mencabar bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membersihkan dahulu namanya berhubung kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebelum dilantik menjadi pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, Najib seharusnya tidak berdiam diri tetapi bertindak menafikan penglibatan beliau malah menyaman kesemua media termasuk media asing yang melaporkan beliau terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

“Kita tidak mahu dunia melihat pemimpin negara kita seorang pembunuh, jadi beliau (Najib) membersihkan dahulu namanya sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Oleh itu, Najib seharusnya menafikan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan tersebut sebelum perlantikan beliau pagi besok (hari ini), kalau boleh petang ini (semalam).

“Sebagai contoh, Pas pernah menyaman sebuah akhbar asing kerana melaporkan Parti Pas ada kaitan dengan pertubuhan pengganas, Al-Qaeda, selepas itu akhbar tersebut meminta maaf kepada kita kerana mengeluarkan laporan yang salah,” katanya pada sidang media di Markas Pas Air Kuning di sini semalam.

Selain itu, ditanya Najib pernah melafazkan sumpah tidak terlibat dalam kes tersebut pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh tahun lepas, Nasharudin menjawab, “sumpah tersebut adalah urusan beliau dengan Allah SWT”.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mendedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan telah berjumpa dengan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berhubung pemberian tanah selama 999 tahun kepada warga Cina di Kuala Sepetang.

“Mereka (Barisan Nasional) telah memberi tanah ini kepada kaum Cina, tetapi kenapa ketika dibawah Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin dahulu mereka menentang kita berhabis-habisan dan menggelar kita pengkhianat Melayu?

“Saya juga hairan sehingga sekarang Pemuda UMNO-BN masih senyap, adakah politik seperti ini yang dimainkan oleh Pemuda UMNO?,” katanya.

Sementara itu, Nasha turut mempersoalkan peranan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam PRK kali ini kerana Pas mempunyai bukti FRU bertindak mengawal petugas BN yang memasang bendera parti.

“Adakah ini termasuk dalam tugas baru FRU? Adakah mereka ini dibayar oleh sesetengah pihak?.

“Oleh itu kita akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (PRK) berhubung kes ini kerana kita mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.

Kelmarin, satu kekecohan telah berlaku di Changkat Ibol kerana petugas jentera pilihan raya BN telah dihalang untuk menggantung bendera parti.
>>>END<<<

No comments: