Monday, September 19, 2011

PRU 13 pada 11 Februari?

Sama ada kita semua sedar atau tidak, sebenarnya pemimpin dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) sudah memulakan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sejak awal tahun lagi apabila majoriti wakil rakyat turun padang bertemu rakyat secara agresif.

Persoalan yang masih terus menghantui kita semua adalah bila PRU-13 diadakan? Untuk menjawab soalan ini, kita tidak seharusnya mengharapkan kepada bomoh atau tekaan semata-mata tetapi memerlukan penelitian terhadap tingkah laku pemimpin utama negara selain beberapa faktor yang memang berkait rapat dengan tarikh pilihan raya umum seperti sebelum ini. 

Perkara ini lebih kelihatan apabila Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kebelakangan ini bergerak ke seluruh negara, malah beliau mengadakan pelbagai lawatan berjumpa sendiri rakyat akar umbi serta mengumumkan pelbagai insentif yang ditagih rakyat. Bukan niat untuk mempersoalkan Najib kerana memang sudah tugas seorang Perdana Menteri selalu turun berjumpa dengan rakyat. 

Ia lebih jelas apabila beliau menemui rakyat sekerap mungkin, dimulakan dengan Sarawak sebelum pilihan raya negeri pada April lalu, diikuti Johor, Pulau Pinang dan Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah malah sanggup memotong percutiannya di luar negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada jurugambar BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia 4 September lalu. 

Semua mengetahui, ramalan pilihan raya umum menjadi semakin terang dan benar-benar dekat apabila UMNO, sebuah parti utama dalam BN memulakan langkah dengan mengumumkan 'pilihan raya olok-olok' seperti yang dinyatakan Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini. 

Ia lebih jelas apabila Najib pada malam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia telah membuat pengumuman yang amat berani iaitu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebuah akta yang sering menjadi isu dan modal kempen pihak pembangkang. 

Kembali ke persoalan utama, bilakah tarikh pilihan raya, ramai 'ahli-ahli nujum' membuat spekulasi bahawa tempoh di antara November hingga Disember tahun ini ialah bulan yang paling popular, tetapi tidak kurang juga meramalkan Najib boleh mengadakan pilihan raya pada tahun depan kerana tempoh luput penggal ini hanya berakhir pada 8 Mac 2013. 

Tarikh yang paling sensasi setakat ini adalah 11 Oktober 2011 kerana Najib selepas ditemuramah sebuah stesen radio berkata beliau amat menyukai nombor 11 kerana nombor tersebut amat dekat dengan dirinya. Namun, satu lagi tarikh penting yang menentukan bila pilihan raya umum adalah pada 7 Oktober iaitu hari pembentangan Bajet 2012. 

Kenyataan Najib bahawa bajet kali ini adalah belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju, menyebabkan ramai yang mula menyebut Bajet 2012 akan menjadi bajet pilihan raya. 

Di sini saya mahu memberi satu tarikh atas beberapa faktor, saya bukan bomoh atau main teka-teka sahaja, tarikh penamaan calon akan jatuh pada 28 Januari 2012 manakala tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-13 jatuh pada 11 Februari 2012! Maka ada 14 hari berkempen. 

Dari segi sejarah, secara purata jarak di antara pilihan raya umum sekitar 4 tahun 4 bulan kecuali pilihan raya umum ke-4 pada 24 Ogos 1974 apabila ia sudah melebihi tempoh matang iaitu 5 tahun 3 bulan kerana tragedi 13 Mei 1969. Jarak yang paling dekat pula adalah pilihan raya umum ke-6 pada 22 April 1982 iaitu 3 tahun 8 bulan. Untuk penggal ini ia sudah mencapai 3 tahun 5 bulan, lagipun mandat yang digunakan Najib sekarang adalah mandat Perdana Menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Kenapa saya amat yakin Najib akan memilih tarikh ini, kerana atas faktor-faktor berikut. Pertama, tarikh antara 28 Januari hingga 11 Februari merupakan tempoh yang 'lapang', tiada tarikh-tarikh besar kecuali 5 Februari iaitu hari Maulidur Rasul. Ia adalah 'tingkap' pertama Najib untuk tahun depan sebelum tingkap-tingkap seterusnya. 

Kedua adalah elemen kejutan. Kejutan terbaik adalah penggal parlimen yang akan berakhir pada bulan Disember atau lebih tepat minggu persidangan terakhir digunakan Najib untuk membubarkan parlimen, sekaligus pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu. PR baru-baru ini menyeru agar Najib bersetuju supaya tarikh pilihan raya umum dibuat atas permuafakatan bersama. Sebagai panglima perang yang bijak, Najib pasti 'melayan' pihak lawan ini sehingga membuatkan mereka leka dan menyerang secara tiba-tiba. Pasti pihak lawan setidak-tidaknya jatuh terduduk. 

Faktor ketiga adalah persediaan BN sendiri. Umum mengetahui Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 29 November hingga 3 Disember 2011 dan parti-parti komponen lain 'bergelut' untuk mengadakan persidangan masing-masing. Pada Persidangan Agung Umno ini nanti, fokus utama sudah tentu berarah kepada pilihan raya umum dan Najib semestinya akan membuat beberapa pengumuman yang mengejutkan. Mungkin memansuhkan banyak tol atau lebih hebat, memansuhkan hutang PTPTN! Siapa tahu.... 

Dari segi ekonomi, kerajaan sedang bergelut dengan, kos dan subsidi yang semakin melonjak selain masa yang semakin tidak mengizinkan. Kesilapan terbesar Najib adalah apabila beliau mengingatkan semula rakyat berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum walaupun sebelum ini GST memang akan dilaksanakan pada tahun 2012. Adakah Najib mahu mengulangi kesilapan Tun Abdullah sebelum ini dengan isu kenaikan harga minyak? Apapun, bagi rakyat yang sedar, kerajaan sebenarnya bertungkus lumus dan melakukan yang terbaik untuk memenuhi kehendak rakyat. Jadi, sebelum terlambat, Najib pasti mengambil kira faktor ekonomi yang semakin menekan ditambah pula kelembapan ekonomi dunia sebagai faktor penting menentukan tarikh pilihan raya umum. 

Sebelum pilihan raya umum ini, ramai yang akan menyedari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan lebih 'sibuk' berbanding biasa terutamanya golongan guru-guru sekolah yang akan dipinjamkan menjadi pegawai pusat pembuangan undi pada hari pengundian. Guru-guru ini akan diberi latihan beberapa bulan sebelum tarikh sebenar, biasanya dua bulan sebelumnya. Mungkin ada yang beranggapan ia akan mengganggu proses pembelajaran pelajar tetapi sebenarnya tidak. Sebagai contoh, sekiranya satu Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai enam pusat pembuangan undi dan setiap satunya lima guru yang akan ditugaskan menjadi pegawai SPR. Maka jumlah semuanya adalah 30 orang guru sahaja. Sepanjang tempoh latihan di bawah SPR, guru-guru lain yang tidak berkenaan akan menggantikan tempat mereka. Bagi tempat pembuangan undi, sekolah-sekolah ini akan ditutup satu hari iaitu pada hari Jumaat bagi penyediaan dan kelancaran proses pengundian. Bagi pihak sekolah yang dijadikan pusat ini, mereka boleh mengadakan kelas gantian. Semuanya boleh dilakukan bagi memberi laluan hari yang amat bersejarah ini. 

Inilah kali pertama Najib mengetuai pilihan raya umum sebagai Perdana Menteri. Najib perlu mendapatkan mandat rakyat, sebagai tanda beliau menerima sokongan mereka. Dasar pentadbiran dan programnya selama ini menjadi perhatian, manakala pembangkang tanpa henti mengkritik. Beliau mengambil alih pentadbiran ketika BN buat pertama kalinya hilang 2/3 majoriti dalam parlimen. Begitu sukar sekali cabaran yang ditempuhinya. Sama ada rakyat bersetuju dengan dasar Najib atau sebaliknya akan ditentukan pada pilihan raya kali ini. Jika Najib gagal, beliau akan dicatat sebagai Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah negara. 

No comments: