MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
Insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 akan kekal
dalam sejarah negara, kerana pencerobohan ini adalah yang pertama kali
dilakukan secara ketenteraan oleh pasukan yang menggelar diri mereka Tentera
Diraja Sulu bagi merampas Sabah dari Malaysia.
Insiden ini amat unik kerana ramai pakar-pakar
pertahanan dunia menggelarnya sebagai ‘bizzare incursion’ di mana sebuah
pasukan pengganas yang kecil secara terbuka dan berani mengistiharkan perang ke
atas sebuah negara lain. Ia tidak pernah berlaku di mana-mana pun!
Pada tempoh Februari hingga Jun 2013, ribuan
penduduk di pantai timur Sabah terutamanya di Semporna dan Tanjung Labian
terkesan akibat dari operasi ketenteraan untuk menghalau tentera Sulu di bawah
Jeneral Agimuddin Kiram dari tanah berdaulat Sabah.
Beratus-ratus rumah dan harta benda musnah, tidak
lupa juga kehilangan nyawa yang tinggi pada kedua-dua pihak. Pasukan
keselamatan kita kehilangan 10 anggota dan berpuluh lagi cedera. Ia sudah pasti
meninggalkan kesan psikologi mendalam kepada mangsa yang terlibat.
Dalam tempoh tersebut, penulis ditugaskan oleh Sinar
Harian untuk membuat liputan di sekitar pantai timur Sabah. Penulis secara
‘first hand’ menyingkap sendiri perasaan penduduk kampung yang ketakutan, sedih
dan marah terhadap pasukan pengganas Kiram.
Di Felda Sahabat, beberapa hari sebelum Ops Daulat
dilaksanakan, ratusan penduduk dari gugusan Felda dan kampung-kampung
berdekatan mula membanjiri dewan-dewan dan balai raya bagi melarikan diri.
Kanak-kanak dan bayi dipeluk erat ibu bapa mereka. Tangan anak kecil digenggam
kemas. Ramai menangis. Satu pemandangan yang tidak pernah dijangka boleh
dilihat di Malaysia sejak berakhirnya zaman komunis.
Orang-orang tua pula terpaksa ditinggalkan di
kampung, dengan alasan mereka tiada kenderaan ataupun tidak cukup ruang dalam
kereta. Nyawa ibu bapa, datuk dan nenek mereka diserahkan bulat-bulat kepada
takdir. Ramai juga yang cekal membawa ibu bapa mereka yang lumpuh menggunakan
kereta sorong sehingga sejauh 10KM.
Ada yang menangis merayu supaya kami selamatkan
keluarga mereka, kami tidak mampu melakukan apa-apa, kami cuma mampu berdoa.
Pagi 5 Mac 2013, Angkatan Tentera Malaysia dengan
dibantu jet-jet pejuang F-18 Hornet dan Hawk TUDM mula menggempur kedudukan
tentera Kiram di Kampung Tanduo dalam Ops Daulat. Tembakan bertubi-tubi mortar
diselang seli bunyi mesin gun berat dari kereta perisai mula kedengaran.
Ratusan pasukan infantri mula masuk bagi melakukan operasi ‘mopping’. Penduduk
sekitar mula gelisah, mereka tidak keruan memikirkan harta benda yang
ditinggalkan, paling gusar, nyawa insan tersayang yang masih terperangkap di
kawasan zon merah.
Seminggu selepas operasi sekitar Kampung Tanduo,
tentera mula melakukan mopping di sekitar kawasan kepungan bagi memastikan
tiada seorang pun tentera pengganas Kiram terlepas. Di sini terutamanya Kampung
Tanjung Batu dan Kampung Labian tidak terlepas dari kemusnahan.
Penduduk mula dibenarkan balik
Selepas kawasan merah diistiharkan selamat, pasukan
keselamatan mula membenarkan penduduk balik bagi mengenal pasti jumlah
kemusnahan dan kerugian. Penulis berpeluang bersama penduduk kampung buat
pertama kali melihat sendiri rumah mereka.
Huraidah Urit dan suaminya, Yaacob Rajah menangis melihat keadaan rumahnya yang hancur akibat pertempuran. |
Sejurus tiba di pintu masuk kampung, ramai di
kalangan mereka tidak mampu menahan sebak dan menangis kerana hasil titik peluh
puluhan tahun musnah sekelip mata. Malah ada juga yang tidak mampu berkata-kata
dan kaku di hadapan rumah mereka yang hancur dibedil kerana dijadikan kubu oleh
pengganas Kiram. Ada yang hampir pengsan.
Perasaan marah mereka membuak-buak. Kemarahan mereka
kepada tentera pengganas Kiram tidak dapat dibendung lagi.
Lebih dasyat lagi, ribuan kelongsong peluru
bertaburan di sepanjang jalan kampung. Malah penduduk menjumpai grenad yang
masih hidup. Nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak masih dalam bahaya.
Tiada satu rumahpun yang terlepas dari kesan
tembakan termasuklah Surau An Nur di Kampung Tanjung Batu.
Tidak berhenti di situ, penduduk masih takut kerana
memikirkan pengkhianat di kalangan orang kampung sendiri. Ada yang mengaku akan
dibunuh kalau mereka bermalam di rumah mereka. Ia menambah kesengsaraan
penduduk.
Jangan beri muka
Baru-baru ini, negara digemparkan apabila seorang
pemimpin sanggup bergambar dengan anak dalang penyerang Lahad Datu. Walau
apapun alasan diberikan, pemimpin ini secara logiknya tidak boleh bergambar ‘selfie’
penuh mesra, siap bawa poster dan tunjukkan kepada dunia.
Ya, semua orang tidak sempurna, mungkin dia terlupa,
namun tindakan pemimpin ini tidak boleh diterima sama sekali. Jika gambar itu
hanya gambar bersalam, semua orang boleh terima kerana mereka berjumpa dalam
satu majlis, tidak molek pula jika kita tidak sambut salam orang lain, tapi
tidaklah hingga boleh menyebabkan ramai pihak tersinggung. Ia adalah pengajaran
kepada kita semua.