Friday, November 27, 2015

Lahad Datu, perang yang makin dilupakan

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

Insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 akan kekal dalam sejarah negara, kerana pencerobohan ini adalah yang pertama kali dilakukan secara ketenteraan oleh pasukan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Sulu bagi merampas Sabah dari Malaysia.

Insiden ini amat unik kerana ramai pakar-pakar pertahanan dunia menggelarnya sebagai ‘bizzare incursion’ di mana sebuah pasukan pengganas yang kecil secara terbuka dan berani mengistiharkan perang ke atas sebuah negara lain. Ia tidak pernah berlaku di mana-mana pun!

Pada tempoh Februari hingga Jun 2013, ribuan penduduk di pantai timur Sabah terutamanya di Semporna dan Tanjung Labian terkesan akibat dari operasi ketenteraan untuk menghalau tentera Sulu di bawah Jeneral Agimuddin Kiram dari tanah berdaulat Sabah.

Beratus-ratus rumah dan harta benda musnah, tidak lupa juga kehilangan nyawa yang tinggi pada kedua-dua pihak. Pasukan keselamatan kita kehilangan 10 anggota dan berpuluh lagi cedera. Ia sudah pasti meninggalkan kesan psikologi mendalam kepada mangsa yang terlibat.

Dalam tempoh tersebut, penulis ditugaskan oleh Sinar Harian untuk membuat liputan di sekitar pantai timur Sabah. Penulis secara ‘first hand’ menyingkap sendiri perasaan penduduk kampung yang ketakutan, sedih dan marah terhadap pasukan pengganas Kiram.

Di Felda Sahabat, beberapa hari sebelum Ops Daulat dilaksanakan, ratusan penduduk dari gugusan Felda dan kampung-kampung berdekatan mula membanjiri dewan-dewan dan balai raya bagi melarikan diri. Kanak-kanak dan bayi dipeluk erat ibu bapa mereka. Tangan anak kecil digenggam kemas. Ramai menangis. Satu pemandangan yang tidak pernah dijangka boleh dilihat di Malaysia sejak berakhirnya zaman komunis.

Orang-orang tua pula terpaksa ditinggalkan di kampung, dengan alasan mereka tiada kenderaan ataupun tidak cukup ruang dalam kereta. Nyawa ibu bapa, datuk dan nenek mereka diserahkan bulat-bulat kepada takdir. Ramai juga yang cekal membawa ibu bapa mereka yang lumpuh menggunakan kereta sorong sehingga sejauh 10KM.

Ada yang menangis merayu supaya kami selamatkan keluarga mereka, kami tidak mampu melakukan apa-apa, kami cuma mampu berdoa.

Pagi 5 Mac 2013, Angkatan Tentera Malaysia dengan dibantu jet-jet pejuang F-18 Hornet dan Hawk TUDM mula menggempur kedudukan tentera Kiram di Kampung Tanduo dalam Ops Daulat. Tembakan bertubi-tubi mortar diselang seli bunyi mesin gun berat dari kereta perisai mula kedengaran. Ratusan pasukan infantri mula masuk bagi melakukan operasi ‘mopping’. Penduduk sekitar mula gelisah, mereka tidak keruan memikirkan harta benda yang ditinggalkan, paling gusar, nyawa insan tersayang yang masih terperangkap di kawasan zon merah.

Seminggu selepas operasi sekitar Kampung Tanduo, tentera mula melakukan mopping di sekitar kawasan kepungan bagi memastikan tiada seorang pun tentera pengganas Kiram terlepas. Di sini terutamanya Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian tidak terlepas dari kemusnahan.

Penduduk mula dibenarkan balik

Selepas kawasan merah diistiharkan selamat, pasukan keselamatan mula membenarkan penduduk balik bagi mengenal pasti jumlah kemusnahan dan kerugian. Penulis berpeluang bersama penduduk kampung buat pertama kali melihat sendiri rumah mereka.
Add caption

Huraidah Urit dan suaminya, Yaacob Rajah menangis melihat keadaan rumahnya yang hancur akibat pertempuran.
Penulis masih ingat dengan jelas, pada awal April 2013, kira-kira 100 ketua keluarga dibenarkan masuk ke kampung terkejut apabila menyaksikan sendiri kehancuran harta benda kesan dari pertempuran.

Sejurus tiba di pintu masuk kampung, ramai di kalangan mereka tidak mampu menahan sebak dan menangis kerana hasil titik peluh puluhan tahun musnah sekelip mata. Malah ada juga yang tidak mampu berkata-kata dan kaku di hadapan rumah mereka yang hancur dibedil kerana dijadikan kubu oleh pengganas Kiram. Ada yang hampir pengsan.

Perasaan marah mereka membuak-buak. Kemarahan mereka kepada tentera pengganas Kiram tidak dapat dibendung lagi.
Penulis melihat sendiri peluru M203 aktif yang ditemui penduduk Kampung Tanjung Batu.

Lebih dasyat lagi, ribuan kelongsong peluru bertaburan di sepanjang jalan kampung. Malah penduduk menjumpai grenad yang masih hidup. Nyawa penduduk terutamanya kanak-kanak masih dalam bahaya.

Tiada satu rumahpun yang terlepas dari kesan tembakan termasuklah Surau An Nur di Kampung Tanjung Batu.

Tidak berhenti di situ, penduduk masih takut kerana memikirkan pengkhianat di kalangan orang kampung sendiri. Ada yang mengaku akan dibunuh kalau mereka bermalam di rumah mereka. Ia menambah kesengsaraan penduduk.

Jangan beri muka

Baru-baru ini, negara digemparkan apabila seorang pemimpin sanggup bergambar dengan anak dalang penyerang Lahad Datu. Walau apapun alasan diberikan, pemimpin ini secara logiknya tidak boleh bergambar ‘selfie’ penuh mesra, siap bawa poster dan tunjukkan kepada dunia.

Ya, semua orang tidak sempurna, mungkin dia terlupa, namun tindakan pemimpin ini tidak boleh diterima sama sekali. Jika gambar itu hanya gambar bersalam, semua orang boleh terima kerana mereka berjumpa dalam satu majlis, tidak molek pula jika kita tidak sambut salam orang lain, tapi tidaklah hingga boleh menyebabkan ramai pihak tersinggung. Ia adalah pengajaran kepada kita semua. 









No comments: