Monday, March 2, 2009

PR akan halang Najib jadi PM: Azmin

SELAYANG – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan Pakatan Rakyat (PR) akan cuba sedaya-upaya untuk menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak daripada diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Menurutnya, sudah terlalu banyak keburukan yang dilakukan oleh Najib contohnya seperti mengarah pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) haram di Perak serta serangan, ugutan dan penculikan wakil-wakil rakyat PR.

“Belum jadi Perdana Menteri tetapi Najib sudah menunjukkan taring yang melampaui batas dan menguji kesabaran PR.

“Saya bersama-sama pemimpin PR serta rakyat berjanji akan cuba menghalang habis-habisan Najib dan Rosmah diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Jika kita gagal, nescaya kita akan melihat kehancuran negara kita pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana anjuran PKR di sini malam kelmarin.

Menurut Azmin lagi, BN Selangor dibawah kepimpinan Datuk Seri Khir Toyo turut bertubi-tubi menyerang kerajaan PR Selangor contohnya seperti mengaitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan rasuah melibatkan 46 ekor lembu.

“Wahai Khir Toyo, tolong cerminkan diri kamu sendiri, siapa kamu hendak bercakap mengenai moral dan rasuah? Cukup adalah cukup, kesabaran kita betul-betul diuji oleh ‘Si Kitol’ ini.

“Pada Persidangan DUN 10 Mac ini nanti, kita akan londehkan Khir Toyo, pada saya ada 28 kes rasuah Khir Toyo dan pada Menteri Besar ada lebih 50 kes rasuah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan prinsip ‘berat sebelah’ sekiranya berhadapan dengan kes rasuah melibatkan pemimpin BN.

“Kita sudah laporkan banyak kesalahan rasuah melibatkan pemimpin BN, tetapi SPRM langsung tidak ambil sebarang tindakan.

“Kalau SPRM tidak ambil tindakan selepas ini, kita akan hantar dua butir peluru kepada mereka seperti yang dihadapi oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh,” katanya.

Menurut Amirudin lagi, isu derhaka yang di main-mainkan oleh UMNO-BN serta media-media yang dikawal mereka adalah satu percubaan untuk menggambarkan bahawa PR benar-benar derhaka kepada institusi Raja-Raja.

“Derhaka? Buku Sejarah Melayu jelas memberitahu apa makna derhaka kepada Raja, kepada Pemuda UMNO, jangan lupa sejarah, jangan hanya tahu menjerit Daulat Tuanku, sudahkah mereka lupa siapa yang mencela dan menghina Raja-Raja pada tahun 1980-an dahulu?,” katanya.

Ceramah Perdana ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ketua Bahagian PKR selayang, Abdul Rahim Wahab serta dihadiri oleh kira-kira 3 ribu penyokong PR.

No comments: