Thursday, February 12, 2009

Karpal beri keterangan


KUAL LUMPUR - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, menyangkal dakwaan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa pihak polis menghalalkan perhimpunan haram yang diadakan di hadapan pejabatnya kelmarin.

“Polis tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada pihak tersebut untuk mengadakan perhimpunan di hadapan pejabatnya (Karpal) tempoh hari.

“Kenyataan beliau yang menyatakan pihak polis tidak melindungi beliau dan bersubahat dengan para penyokong perhimpunan haram tersebut adalah tidak berasas sama sekali,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya semalam.

Tambahnya, pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung dalang perhimpunan haram tersebut berdasarkan laporan polis yang telah dibuat.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan tuduhan melulu yang dilemparkan oleh Karpal Singh dan ia dilihat boleh menjejaskan nama baik pasukan polis yang berwibawa.

“Polis tidak akan bersengkongkol dengan mana-mana pihak dan bertindak berpandukan lunas undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara,” jelasnya.

Tambahnya, penganjur perhimpunan haram tersebut akan dikenakan tindakan yang sewajarnya setelah siasatan selesai dari semua aspek selewat-lewatnya sebelum akhir minggu ini.

“Sekiranya perhimpunan yang diadakan itu bersurai setelah mendapat arahan daripada pihak polis maka tiada tangkapan akan dilakukan, namun sekiranya mereka ingkar maka tangkapan akan akan dilakukan,” tambahnya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Muhammada Sabtu menjelaskan Karpal Singh telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) untuk dirakan percakapannya berhubung 89 laporan polis yang telah dibuat ke atasnya di seluruh Negara.

“Polis buat masa ini tidak bercadang menahan beliau dan semua pihak tidak harus mendengar sebarang khabar angin yang tidak benar kerana akan menjadikan keadaan lebih buruk,” jelasnya.

Karpal Singh dilihat memasuki perkarangan IPKKL pada jam 6.10 petang dan keluar pada jam 8.30 malam sambil ditemani oleh anaknya Gobind Singh Deo.

Ketika ditemui wartawan, Karpal bertegas tidak akan mengalah dalam tindakannya menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah walaupun laporan polis terhadapnya sudah mencecah sehingga 84 aduan.

“Perkara ini tidak pernah terjadi kepada mana-mana individu dalam negara ini, ini adalah rekod baru sejarah. Sekali lagi saya ulang, jangan ugut saya.

“Jika berani, mereka semua hendaklah berhadapan dengan saya secara ‘gentlemen’, saya tidak akan lari,” katanya.

Menurut Karpal, kebanyakan laporan polis terhadapnya dibuat oleh Pemuda UMNO seluruh negara.

“Saya beri amaran kepada Pemuda UMNO, bersedia menghadapi segala tindakan daripada saya,” katanya.

Ditanya dakwaan mahkamah yang boleh dikenakan kepadanya, Karpal menjawab, “saya dipanggil di bawah Seksyen 112 kanun acara jenayah kerana laporan polis yang dibuat terhadap saya,” katanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera turut menegaskan tindakan yang dilakukan Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seiring dengan Perlembagaan Negeri Perak.

“Tidak ada undang-undang yang mengatakan Sultan tidak boleh dibawa ke mahkamah.

“Jadi terpulang kepada Ketua Peguam Negara untuk menganbil tindakan terhadap saya.

“Saya ulangi sekali lagi, saya merupakan peguam berpengalaman,” katanya.

No comments: