KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan kebimbangan bahawa kebebasan bersuara dan media akan disekat sekiranya Timbalan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak diangkat menjadi Perdana Menteri.
Ketua Penerangannya, Tian Chua berkata demikian ketika mengulas tentang kejadian surat khabar rasmi parti itu, Suara Keadilan yang telah dirampas secara besar-besaran di seluruh negara.
“Sekarang terlalu banyak isu tidak popular terjadi kepada Barisan Nasional (BN). Jadi untuk memulihkan imej, mereka akan menyekat media dan mengarahkan penerbitan mengikut selera mereka sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Suara Keadilan di sini, semalam.
Menurutnya, dianggarkan 20,000 naskhah edisi 4 Februari dengan tajuk ‘Perak cabar SPR ke mahkamah’ telah menjadi sasaran unit penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dirampas antaranya di Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.
“Mungkin berita-berita yang disiarkan Suara Keadilan tidak menyenangkan parti pemerintah, tetapi saya ingin tegaskan akhbar ini adalah akhbar rasmi parti dan sudah pasti ia mengikut perspektif kita. Rakyat juga memerlukan penerangan dan maklumat yang tepat mengenai apa sebenarnya terjadi berbanding media yang dikuasai BN.
“Surat khabar ini juga bukan akhbar neutral seperti Sinar Harian, oleh itu kita tidak berpura-pura berterus-terang bahawa kita berpihak kepada pembangkang,” katanya.
Selain itu, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu turut mempersoalkan tindakan KDN merampas akhbar terbabit tanpa penjelasan kukuh.
“Jika kami melanggar undang-undang, beritahu kami, jangan terus rampas. Mereka seharusnya menjelaskan tindakan mereka dan mengikut prosedur, itu sepatutnya syarat utama,” katanya.
Beliau berkata, tindakan KDN merampas surat khabar ini terus daripada pengedar-pengedar seluruh negara bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka.
“Sekiranya pengedar-pengedar ini dikenakan tindakan undang-undang, PKR akan membantu mereka dengan menyediakan panel peguam,” katanya.
Sehubungan tindakan KDN ini, Tian Chua menjelaskan akan menulis surat secepat mungkin kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengenai tindakan mereka.
“Pada sesi Parlimen yang akan bersidang nanti, saya juga akan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri dan saya harap menteri tersebut akan memberi perhatian terhadap isu ini,” katanya.
Selain Suara Keadilan, akhbar lain yang turut dirampas secara besar-besaran ini adalah akhbar dwi-mingguan Pas iaitu Harakah yang memuatkan isu terkini mengenai pergolakan politik di Perak.
Thursday, February 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment