BUKIT GANTANG – Seperti pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu yang lalu, mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor sekali lagi mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan 6 kotak yang dikatakan mengandungi maklumat rasuah pemimpin-pemimpin negara.
Selain itu, beliau turut mencabar Anwar menyebut sendiri konspirasi ‘sumpah laknat’ Saiful Azlan Bukhari tahun lepas didalangi oleh beliau seperti yang dituduh oleh sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
“Mereka gentar dengan saya kerana mereka tahu saya mengetahui apa yang mereka tahu terutamanya Anwar dan (Datuk Seri) Wan Azizah Wan Ismail.
“Oleh itu saya mencabar Anwar sekali lagi untuk mendedahkan dimana 6 kotak seperti yang saya nyatakan pada pilihan raya lepas.
“Selain itu, saya juga akan mendedahkan buku yang disahkan oleh Wan Azizah selaku Presiden PKR yang mengatakan bahawa Anwar tahu kedudukan 6 kotak tersebut,” katanya ketika berucap di Ceramah Perdana anjuran Barisan Nasional (BN) Bukit Gantang disini malam kelmarin.
Selain itu, Ezam turut menjelaskan kenapa beliau hanya muncul di PRK seperti yang dipersoalkan oleh ramai pihak adalah kerana beliau sendiri ‘sengaja’ melakukannya.
“Saya memang sengaja, saya hanya muncul di PRK kerana saya ada banyak kerja lain dan tidak mempunyai masa, sekarang saya bekerja di Indonesia.”Saya muncul di PRK kerana rasa tanggungjawab saya untuk menolong UMNO dan BN malah saya sanggup diperalatkan jika saya digunakan untuk menegakkan agama, bangsa dan negara saya dari petualang-petualang yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir pula mempersoalkan strategi kempen Pas yang sudah mula kelihatan ‘memberi rasuah’ kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, jentera-jentera pilihan raya Pas telah mula mengagihkan kain-kain dan keropok kepada setiap rumah yang dilawati mereka dengan harapan dapat meraih undi.
“Dulu kalau kita buat perkara seperti ini, mereka (Pas) cakap kita merasuah penduduk, sekarang mereka sendiri mula melakukan perkara seperti ini, seperti yang saya cakap kepada penduduk yang saya jumpa, kalau mereka bagi, kita ambil, tetapi pangkah BN,” katanya.
Pada 7 April ini, lebih dari 50 ribu pengundi Bukit Gantang akan membuang undi bagi menentukan siapa calon Parlimen yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat, samada calon dari BN Ismail Safian, calon dari PR Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan seorang calon bebas Kamarul Ramizu Idris.
Thursday, April 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment