Saturday, March 30, 2013

Op Daulat, pengalaman ku

Keamanan negara yang dikecapi hari ini boleh dimusnahkan pada bila-bila masa, sekelip mata jika rakyat tidak bersungguh-sungguh mempertahankannya.

Jangan sesekali meletakkan tugas menjaga kedaulatan negara di bahu pasukan keselamatan negara sahaja, kita semua yang bernaung di bawah panji Malaysia harus mempunyai peranan.

Itulah pengajaran paling berguna yang aku perolehi apabila berpeluang memasuki dua kampung yang menjadi saksi pertempuran antara pengganas Sulu dan pasukan tentera.

Menjejaki kesan pertempuran di jalan Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu, berpuluh ribu kelongsong-kelongsong M16, GPMG, grenad dan pelbagai jenis kelongsong lain memenuhi jalan.

Aku terbayang, apakah yang terjadi di kawasan ini, bagaimana jenis pertempuran yang dihadapi oleh perwira-perwira negara?

Terus bayangan filem hollywood bermain di fikiran seperti filem Blackhawk Down, Jarhead dan filem perang lain.

Boom! Boom! Boom! Kebaboom! Boom!

Kita cuma boleh bayangkan, tetapi perasaan sebenar hanya boleh dirasai bila berada dalam situasi itu.
Aku hanya melihat kesan pertempuran di depan mata. Ia hanya boleh disebut KESAN. Kesan itu tetap kesan.

Menoleh ke arah penduduk kampung, aku boleh merasai sedikit perasaan penduduk yang bercampur baur, ada gembira kerana rumah terselamat dan ada yang menangis kerana rumah mereka hanya tinggal tiang.

Apakan tidak, titik peluh keringat tulang empat kerat mereka dimusnahkan sekelip mata.

Sudah pasti penduduk terutama berpangkat ketua keluarga berfikir di mana mahu cari wang untuk bermula semula. Semua kita tahu, untuk memulakan sesuatu adalah perkara yang paling sukar. Rata-rata mereka sudah berumur, jadi adakah mereka akan berputus asa atau tidak, masih adakah masa lagi untuk mereka?

Menyelusuri lebih dalam, kesan tembakan berada di setiap rumah, tiada satu rumah pun yang terlepas. Kesan berlubang ada yang besar, ada yang kecik. Ada juga kesan peluru berasal dari sudut yang sukar, umpama menembak dari atas atau ke bawah.


Memeriksa dari satu rumah ke satu rumah, bau busuk bangkai mula memasuki hidung aku. Baunya makin lama makin kuat. Terus aku terbayang keadaan mayat-mayat pengganas Sulu terbaring.

Di sinilah beberapa pengganas Sulu disahkan terbunuh. Aku terus memeriksa, mahu tahu lebih lanjut.
Aku memberanikan diri, ketika aku semakin mara ke depan, seorang anggota polis yang berasal sama negeri dengan aku menyapa.

"Pok, boh berani gilak piya, kamek tauk apa nak dicarik kitak ya,"

Aku tersengih dan berpatah balik.

Aku melihat banyak bangkai anjing di kedua-dua kampung ini. Aku rasa hairan, aku terus bertanya dengan seorang anggota tentera yang juga satu negeri dengan aku.

"Salam pok, kamek mok tanyak skit, kenak bangkey asuk belobo gilak situk ko?"

Tentera itu menjawab, "Kitak mok tauk kah? Mun kamek cerita mesti kitak sik cayak juak"

Apabila dia berkata begitu, perasaan ingin tahu melonjak naik. "Aih, cerita jak ngan kamek, mok juak tauk."

Tentera itu pun bercerita, "aoklah kamek cerita, camtuk, masa kamekorang bertembak ngan dak Sulu ya, kamekorang yakin dah dapat, tapi kamek orang eran bila ada dak Sulu ya tiba-tiba nembak dari blakang, duhal tek orang ya rah depan.

"Alula kamek orang ingat, ada asuk melimpas kamekorang, rupa asuk ya nang pelik, tapi sik lalek, bila kes ya alula semua asuk ditembak kamekorang,"

Aku terdiam, tidak boleh berkata apa-apa, di antara percaya atau tidak. Tapi bila aku tanya orang lain, jawapan sama dikeluarkan.

Sah, kita sebenarnya berperang dengan Syaitan.

Masih tidak berpuas hati, aku terus bertanya dengan ramai pasukan keselamatan negara, semuanya mempunyai versi yang sama.

Semuanya berkata, tentera Sulu amat kebal, cara membunuh mereka hanyalah menembak tepat di kepala. Tentera yang ditugaskan di Lahad Datu bercakap, "kami berperang dengan zombie, otak hancur baru mati."

Ada juga yang bercerita, ada seorang tentera Sulu ditembak bertalu-talu sehingga pakaiannya tertanggal dan badannya berasap, tetapi masih boleh bangun dan melarikan diri.

Apa yang lebih menarik, 5 anggota wanita tentera Sulu yang menyertai pencerobohan ini sebenarnya adalah pasukan penembak tepat.

Ketika kaum lelaki bertempur di hadapan, penembak tepat atau sniper tentera wanita Sulu ini akan mencari sasarannya.

Mereka juga dikatakan kebal.

Namun sekebal-kebal tentera Sulu, mereka terlupa atau tidak boleh mengkebalkan perut mereka. Mereka perlukan makanan dalam kuantiti yang banyak.

Menyedari kelemahan mereka, seluruh kawasan zon merah dikepung dan penduduk kampung dipindahkan.
Hasilnya, selepas 14 hari bertempur, seorang demi seorang tentera Sulu menyerah diri kerana kehauasan dan kelaparan.

Akhir kata, kejadian di Lahad Datu perlu dijadikan iktibar kepada seluruh negara. Jangan disangka laut Sulu yang tenang tiada pengganas Sulu.

Keamanan negara perlu dipertahankan buat selama-lamanya!

No comments: