Saturday, April 6, 2013

Misi Kumpulan 2 berakhir, giliran Kumpulan 3 masuk ke Lahad Datu

Berakhirlah sudah misi aku membuat liputan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu untuk Sinar Harian.

Misi ini adalah antara tugasan yang paling mencabar sepanjang 5 tahun aku menceburkan diri menjadi wartawan.

Mengimbas kembali misi ini, aku berpeluang menyaksikan sendiri kepayahan penduduk dan pasukan keselamatan mengharungi peperangan 'skala kecil' ini.

Terlalu banyak cerita, setiap keluarga mempunyai cerita menarik tersendiri. Apa yang penting adalah kebolehan wartawan mengorek berita.

Ada beberapa peristiwa yang akan melekat dalam minda aku untuk selama-lamanya.

Pertama, pandangan pertama memasuki Zon Merah di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian. Rumah hancur dan dipenuhi kesan tembakan.

Kedua, membantu penduduk melihat rumah mereka buat pertama kali. Ada yang gembira kerana rumah terselamat. Ada yang menangis meronta-ronta melihat rumah hancur.


Ketiga, aku bersama penduduk menjumpai peluru grenad M203 aktif.

Keempat, melihat sendiri kitab suci al-Quran terselamat walaupun surau dan rumah penuh kesan peluru dan bom.

Kelima, aku menjumpai baju pengganas Sulu. Penuh kesan tembakan tetapi tiada kesan darah.

Keenam, menjejaki laluan yang dilalui 200 penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna ditawan seorang pengganas. Akhirnya pengganas itu dibunuh ketika meminum air di bawah pokok nangka.

Aku bersama Timbalan Editor Kelantan, Zulkhairil Zainuddin akhirnya selesai melaksanakan misi ini selepas kumpulan pertama, Timbalan Editor Utara, Mohd Fazli Zainul Abidin dan wartawan, Nurul Riduan Ashaha berjaya melaksanakannya.

Selepas ini giliran kumpulan ketiga masuk ke Zon Konflik Lahad Datu, kepada pembaca Sinar Harian, nantikan laporan yang lebih mendalam dan tepat!

No comments: