Friday, October 9, 2015

Red Alert 2

Assalamualaikum

sudah lama aku tak update blog aku ni. dah bertahun!

Aku nak cerita satu perkara kali ini iaitu pasal pc game atau bahasa Melayunya permainan komputer.
Aku pertama kali memegang komputer ni pada usia 12 tahun. Waktu tu kat Wisma Saberkas, Kuching ada pameran. Itulah masanya pertama kali aku sentuh keyboard, wah kagumnya!!!

Perasaan nak beli ada, tapi apakan daya, aku hanya senyapkan diri. Aku tahu ayahku takkan mampu memenuhi permintaan tu.

Perasaan nak komputer tu tak pernah padam. Pada tahun 1998, lebih tepat masa tingkatan dua, kawan baik aku ngan adik kembar aku namanya Amad beli komputer. Kami kembar pun selalu lepak rumah dia sebab teruja.

Kami tertarik dengan satu game iaitu Red Alert 2!!

Game ni game strategi. Kami kagum kerana game ni waktu tu boleh dikatakan melangkaui zaman. Dengan tenteranya yang unlimited cap, tank macam-macam jenis, dan gaya serangan yang pelbagai benar-benar memenuhi jiwa gamers kami.

Sebelum ada game ni, aku dulu selalu lukis askar berperang atas kertas besar. Aku sanggup beli kertas manila besar, pastu lekatkan sampai 3. Kat atas kertas tu la aku lukis tentera berperang dengan askar-askar kecik bayangan aku.

Kembali ke cerita Red Alert 2, pada tahun 2000, kakak sulung ku akhirnya membeli komputer kepada aku ngan adik kembar. Kami amat seronok! Terima kasih yang tidak terhingga kepada kak Na!

Game pertama yang kami install adalah Red Alert 2!

Disitulah bermulanya aku mengenal dunia IT. Waktu tu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan program satu rumah satu komputer.

Aku mula kenal bahagian-bahagian dalam komputer hingga aku boleh bina komputer sendiri.

Semakin aku menguasai dunia komputer, semakin tu gak aku makin hebat dengan game Red Alert 2.
Game ni benar-benar seiring dengan pengetahuan ku dalam bidang ni.

Red Alert 2 adalah game yang benar-benar sebati dengan jiwa.

Bagaimanapun pembina game ni, Westwood sudahpun tidak wujud sejak lama, mereka bankrap dan dibeli oleh EA Games walaupun game ni antara game terhebat sepanjang zaman.

Untuk lebih satu dekad semua player dunia senyap sunyi.

Akhirnya tahun ni, satu server mula naik, Game ni masuk dalam list Origin. Player Red Alert 2 gembira! Aku pun apa lagi terus la install.

Bila dapat main online, bertemu dengan player-player terbaik dunia, aku benar-benar teruja. Setakat ni aku boleh kalahkan player ranking 158 dunia! Aku pun cuba untuk menempatkan diri dalam kalangan ranking 100 ke atas. Fuh!

Terima kasih kepada Dustin Browder, kamu telah mencipta game terbaik bagi aku!

Friday, May 29, 2015

Lama tinggalkan blog

Last aku updated blog ni selepas aku balik cover perang kat Lahad Datu.

Nantikan penulisan lebih bertenaga dari aku. Isusanaisusini!

Saturday, April 6, 2013

Misi Kumpulan 2 berakhir, giliran Kumpulan 3 masuk ke Lahad Datu

Berakhirlah sudah misi aku membuat liputan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu untuk Sinar Harian.

Misi ini adalah antara tugasan yang paling mencabar sepanjang 5 tahun aku menceburkan diri menjadi wartawan.

Mengimbas kembali misi ini, aku berpeluang menyaksikan sendiri kepayahan penduduk dan pasukan keselamatan mengharungi peperangan 'skala kecil' ini.

Terlalu banyak cerita, setiap keluarga mempunyai cerita menarik tersendiri. Apa yang penting adalah kebolehan wartawan mengorek berita.

Ada beberapa peristiwa yang akan melekat dalam minda aku untuk selama-lamanya.

Pertama, pandangan pertama memasuki Zon Merah di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian. Rumah hancur dan dipenuhi kesan tembakan.

Kedua, membantu penduduk melihat rumah mereka buat pertama kali. Ada yang gembira kerana rumah terselamat. Ada yang menangis meronta-ronta melihat rumah hancur.


Ketiga, aku bersama penduduk menjumpai peluru grenad M203 aktif.

Keempat, melihat sendiri kitab suci al-Quran terselamat walaupun surau dan rumah penuh kesan peluru dan bom.

Kelima, aku menjumpai baju pengganas Sulu. Penuh kesan tembakan tetapi tiada kesan darah.

Keenam, menjejaki laluan yang dilalui 200 penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna ditawan seorang pengganas. Akhirnya pengganas itu dibunuh ketika meminum air di bawah pokok nangka.

Aku bersama Timbalan Editor Kelantan, Zulkhairil Zainuddin akhirnya selesai melaksanakan misi ini selepas kumpulan pertama, Timbalan Editor Utara, Mohd Fazli Zainul Abidin dan wartawan, Nurul Riduan Ashaha berjaya melaksanakannya.

Selepas ini giliran kumpulan ketiga masuk ke Zon Konflik Lahad Datu, kepada pembaca Sinar Harian, nantikan laporan yang lebih mendalam dan tepat!